.

.

Wednesday 12 June 2013

Darurat 1948-1960 keadaan sosial di tanah melayu

1.0 ABSTRAK
Buku ini bertajuk Darurat 1948-1960 Keadaan Sosial di Tanah Melayu. Buku ini telah diilhamkan oleh Dr. Ho Hui Ling dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Buku ini diterbitkan pada tahun 2004 oleh Penerbit Universiti Malaya Kuala Lumpur.
Buku ini mengisahkan mengenai keadaan sosial di Tanah Melayu apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948. Empat aspek utama yang dititikberatkan dalam penulisan ini iaitu kehidupan penduduk, hubungan kaum, pendidikan dan kemudahan asas. Gerakan komunis yang telah menyusup ke Tanah Melayu sejak awal tahun 1970 telah menjadi anasir yang mengugat keselamatan negara. Komunis telah bertindak ganas dengan melancarkan pembunuhan, perompakkan, serangan bom tangan, dan penculikkan terhadap penduduk di Tanah Melayu.
Zaman darurat merupakan pengalaman pahit kepada penduduk Tanah Melayu dalam kalangan Melayu, Cina, India, dan kaum-kaum lain. Sepanjang tempoh darurat kehidupan penduduk dicengkam oleh rasa bimbang dan takut akan menjadi mangsa ugutan dan kekejaman komunis. Hal ini kerana kekejaman komunis berlaku di mana-mana sahaja dan ke atas sesiapa sahaja tanpa sebab. Oleh itu, kerajaan British telah mengambil beberapa langkah sepanjang tempoh darurat untuk menentang komunis. Antaranya ialah penempatan semula, catuan makanan, perintah berkurung, dan arahan menutup kedai.
Secara keseluruhannya, darurat yang berlaku di Tanah Melayu telah mencetuskan fenomena perpaduan ke arah kemerdekaan. Kesedaran yang timbul di kalangan penduduk di Tanah Melayu memupuk persefahaman antara kaum agar komunis tidak mempunyai peluang untuk mempengaruhi mereka.

2.0 PENGENALAN
      Darurat telah diisytiharkan pada Jun 1948 hingga 1960. Pengistiharaan darurat berlangsung disebabkan kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) yang ingin menguasai Tanah Melayu.  Hal ini telah memberi kesan yang mendalam terhadap keadaan sosial di Tanah Melayu. Antaranya melalui hubungan kaum, kemudahan asas, pendidikan, kehidupan dan kesusahan penduduk. Oleh itu, pihak kerajaan telah menjalankan pelbagai langkah untuk menghalang komunis daripada berleluasa di Tanah Melayu. Antaranya ialah PKM dan parti-parti berhaluan kiri seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Pembela Tanah Air (PETA) telah diharamkan pada tahun 1948. British turut mengenakan hukuman yang berat kepada sesiapa yang bekerjasama dengan British. Zaman darurat telah memperlihatkan pelbagai kemusnahan, kesusahan, kerosakkan, gangguan, ketidakstabilan hidup, penderitaan dan pengorbanan penduduk di Tanah Melayu.
3.0 TEMA-TEMA UTAMA
3.1 KEHIDUPAN TIDAK TERJAMIN
      Darurat yang diisytiharkan di tanah melayu memberi kehidupan yang tidak terjamin kepada penduduk Melayu, Cina, India, Orang asli dan lain-lain kaum. Pelbagai tindakan yang dijalankan oleh komunis telah menimbulkan kesusahan kepada penduduk di Tanah Melayu. Kesemua penduduk di Tanah Melayu mengalami penderitaan dan kesusahan hidup yang sama. Antaranya ialah serangan bom tangan, pembunuhan, penculikkan, perampasan, pembakaran harta benda dan perompakkan.
             Penduduk Cina merupakan sasaran utama pihak komunis sepanjang tempoh darurat diisytiharkan. Hal ini kerana komunis berusaha menimbulkan ketidakyakinan penduduk Cina terhadap pentadbiran kerajaan. Antara yang menjadi sasaran komunis ialah penduduk Cina yang mempunyai perkaitan dengan Kuomintang (KMT), orang Cina yang enggan bekerjasama dengan kerajaan, kontraktor dan ketua buruh yang bekerja untuk estet dan firma Eropah.
Buktinya, pada 10 April 1949, pihak komunis telah mencampak sebutir bom tangan ke dalam banggunan Dewan Perniagaan Cina di Hale Street, Ipoh Perak menyebabkan Tan Cheng Lock telah mengalami kecederaan parah. Hal ini bertujuan untuk membalas dendam terhadap Malayan Chinese Association (MCA) dan penduduk Cina yang menentang komunis. Pihak komunis turut melakukan pembunuhan yang kejam dengan membakar, mencampakkan sasarannya ke dalam api, menembak dan menikam mati. Setelah dibunuh, mayat akan diselitkan dengan secebis nota yang menyatakan mangsa adalah seorang pensubahat. Pada 17 Jun 1948 seorang saudagar getah yang turut merupakan presiden KMT telah ditembak mati di Estet Dublin, Kulim Kedah.
Penduduk Melayu turut menerima kekejaman daripada komunis. Antara penduduk Melayu yang menjadi sasaran ialah polis, kaum wanita, penghulu kampung, homeguard, penoreh getah, dan pengetua sekolah. Pihak Komunis turut bertindak kejam dengan merampas peralatan masjid, barang makanan, wang, rokok dan senjata api. Buktinya, Pada 17 April 1951, 40 komunis telah menyerang sebuah masjid di Raub Pahang. Penjaga masjid ditembak mati dan peralatan masjid dirampas.
Manakala, penduduk India yang terdiri daripada kontraktor, mandur, pengawal, dan penggembala lembu menjadi sasaran utama komunis. Mereka diserang kerana enggan memberi kerjasama dan tidak membayar yuran keahlian kepada pihak komunis. Buktinya, pada Mac 1949, seorang mandur telah dibunuh di Estet Penarth Sungai Siput Perak. Orang asli dan lain-lain kaum seperti peladang dan pelombong juga tidak ketinggalan daripada menerima nasib yang sama. Orang asli diugut untuk menjadi pembekal makanan, pemandu jalan, dan pemberi maklumat kerana mereka mahir dalam selok belok hutan.
Dalam masa yang sama, komunis turut berhasrat untuk melumpuhkan ekonomi negara. Mereka telah memusnahkan bangunan, kilang getah, jentera, menyerang lombong dan menakik pokok getah. Oleh itu, peladang dan pelombong bertindak meninggalkan estet dan lombong. Mereka juga turut dipaksa untu menyediakan makanan untuk pihak komunis.
3.2 KESUSAHAN HIDUP
Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menentang komunis. Antaranya pemusnahan kampung dan pemindahan penduduk, hidup berkurung, arahan tutup kedai, catuan makanan, dan penempatan semula. Tujuannya ialah memutuskan hubungan pembekal dengan komunis, penduduk memberi maklumat perihal komunis, menjalankan siasatan ke atas komunis. Kesusahan hidup yang dilalui oleh penduduk di tanah melayu telah mewujudkan banyak masalah. Mereka berhadapan dengan masalah kesihatan kerana bekalan air yang tidak bersih. Penduduk kampung juga terdedah dengan pelbagai penyakit seperti penyakit kulit dan malaria. Hal ini telah memberi kesan yang mendalam terhadap penduduk di Tanah Melayu.
Tindakan tegas telah diambil oleh British dengan memusnahkan kampung dan pemindahan penuduk. Penduduk di Tanah Melayu terpaksa memulakan hidup baru apabila dipindahkan ke kawasan penempatan yang baru. Pemusnahan kampung dan perpindahan penduduk bertujuan untuk memusnahkan kampung yang disyaki menjadi pusat pemindahan dan melatih ahli baru PKM, membekalkan makanan dan perlindungan kepada pihak komunis. Masyarakat di Tanah Melayu terpaksa memulakan kehidupan yang baru di kawasan yang baru. Hal ini telah mengehadkan kegiatan harian pemduduk di Tanah MelayuPemusnahan kampung yang telah dilancarkan oleh komunis telah menyebabkan masyarakat mengalami kerugian harta benda kerana masa yang diperuntukkan untuk berpindah adalah singkat.
Langkah seterusnya ialah kerajaan telah mengenakan perintah berkurung, arahan menutup kedai dan catuan makanan.  Perintah berkurung telah dikenakan dibeberapa kawasan seperti Tanjung Malim, Pusing, dan Labis dengan kadar masa yang berbeza.  Sebagai contohnya, di Tanjung Malim perintah berkurung dikenakan selama 22 jam manakala di Labis, Johor selama 72 jam. Buktinya, sebuah pekan kecil di Ipoh Perak iaitu Pusing telah dikenakan perintah berkurung selama 24 jam dan 22 jam di rumah. Kedai pula telah ditutup selama 44 hari dan penduduk diwajibkan untuk membayar denda. Kedai yang ditutup telah menyebabkan penduduk tidak dapat membeli barang keperluan harian seperti beras, garam, lada dan lain-lain lagi. Namun begitu, perintah berkurung ditamatkan setelah seseorang yang disyaki memberi maklumat ditangkap dan membayar denda.
Seterusnya, masyarakat di kawasan penempatan semula seperti di setinggan Cina merupakan maslah besar dalam usaha menentang komunis. Hal ini disebabkan oleh mereka bersimpati dengan komunis, memberikan bantuan keperluan hidup dan maklumat. Banyak kaum Cina yang tinggal di setinggan Cina mempunyai saudara yang tinggal di dalam hutan bersama-sama dengan pihak komunis. Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan rancangan penempatan semula untuk memutuskan hubungan antara penduduk setinggan Cina dengan komunis di dalam hutan. Setinggan Cina telah dilindungi oleh pasukan keselamatan. Mereka terpaksa meninggalkan pekerjaan asal, pendapatan dan hasil pertanian yang dimiliki. Keadaan darurat turut menganggu agama dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat di Tanah Melayu. Buktinya, masyarakat Cina dilarang membawa makanan ke kawasan perkuburan untuk disembahkan kepada nenek moyang pada hari Ching Ming kerana mencegah makanan daripada jatuh ke tangan komunis. Hal ini telah mengubah amalan  agama, adat, dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat.
3.3 HUBUNGAN KAUM
Zaman darurat telah memberi impak yang negatif dalam hubungan antara kaum di tanah melayu. Oleh itu, beberapa pertubuhan telah diwujudkan seperti Jawatankuasa Hubungan Kaum (CLC), Malayan Chinese Association (MCA) dan gabungan UMNO-MCA-MIC. Sebelum 1948, hubungan antara kaum dipisahkan oleh factor ekonomi, tempat tinggal, dan pendidikan yang berbeza.
Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1941 hingga 1945 telah mewujudkan ketegangan tiga kaum iaitu Melayu, Cina, dan India. Orang Melayu dan India telah mendapat layanan yang baik manakala orang Cina dilayan sebaliknya kerana dianggap sebagai membantu dan memberi sokongan terhadap negara China. Hal ini telah mendatangkan perasaan dendam terhadap orang Melayu kerana membantu Jepun mmerangi Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) yang dianggotai oleh orang Cina. Oleh itu, kemenangan yang diraih oleh MPAJA dengan menentang Jepun telah menyebabkan orang Melayu yang membantu Jepun dibunuh.
Semasa pemerintahan British pula, Malayan Union telah diperkenalkan pada 1 April 1946. Malayan Union telah disambut baik oleh orang Cina dan India kerana menjanjikan persamaan taraf dengan orang Melayu dengan syarat kewarganegaraan yang longgar. Hal ini telah menghakis hak dan kepetingan orang melayu sebagi penduduk asal di Tanah Melayu. Namun, Malayan Union gagal dibentuk dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 februari 1948 yang bertujuan meminda perlembagaan Malayan Union melalui rundingan dengan UMNO dan raja-raja.
Pada zaman darurat pula, kerajaan Tanah Melayu telah menjalankan pelbagai tindakan untuk memenangi hati orang Cina untuk menentang komunis. Antaranya ialah penempatan semula dan pemberian hak tanah milik orang Melayu. Rancangan penempatan semula telah menimbulkan kemarahan di kalangan orang Melayu kerana kemudahan dan perkhidmatan disediakan di kawasan penempatan Cina bukanlah di kawasan penempatan melayu. Sedangkan orang Melayu yang banyak membantu dan sanggup mengorbankan nyawa menentang komunis. Dalam masa yang sama, hak milik tanah orang melayu diberikan kepada setinggan tanpa sebarang pampasan.
Hubungan antara kaum semakin terjejas apabila segala tindakan yang dilakukan kerajaan tidak diendahkan oleh orang Cina dan India. Mereka tidak mahu membantu mempertahankan negara. Buktinya, Peraturan Tenaga Manusia yang diumumkan pada 20 Disember 1950 menyebabkan belia Cina dan India yang berumur 18 hingga 24 tahun telah meninggalkan Tanah Melayu. Komposisi penglibatan orang Cina dalam pasukan keselamatan juga kurang memberangsangkan. Oleh itu, mereka dianggap oleh orang Melayu sebagai sebangsa dengan komunis.
            Justeru, Jawatankuasa Hubungan Kaum (CLC) dan Malayan Chinese Association (MCA) telah diperkenalkan. CLC bertujuan untuk memelihara persefahaman yang baik antara komuniti dan mencadangkan cara bagi mengukuhkan dan meninggalkan hubungan kaum. CLC menekankan konsep kesamaan dan keadilan untuk penduduk Malaya. Pertubuhan ini turut memberi perhatian kepada hubungan politik antara orang melayu dan orang bukan melayu seperti pengambilan orang bukan melayu dalam perkhidmatan pentadbiran, pengenalan pilihan raya dan kelayakan orang bukan Melayu untuk menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Pembentukan MCA adalah dicetuskan oleh Tan Cheng Lock, Yong Shook Lin, Khoo Teik Ee, H.S Lee dan Leong Yew Kew. MCA adalah sebuah persatuan bagi mengalihkan perhatian orang Cina daripada komunis. MCA turut bertindak sebagai badan yang membersihkan nama orang Cina yang selalu dikaitkan dengan komunis. Antara tujuan penubuhan MCA ialah memelihara kebajikan antara kaum dan melindungi kepentingan sosial, ekonomi, politik, budaya orang Cina. MCA juga berusaha untuk menghakis rasa curiga yang timbul di kalangan orang Melayu. MCA berusaha memujuk orang Cina agar melibatkan diri dalam pasukan keselamatan. Pertubuhan MCA telah Berjaya memperbaiki hubungan antara orang Cina dengan kaum-kaum yang lain. Gabungan perikatan UMNO-MCA-MIC telah merapatkan lagi hubungan antara kaum di Tanah Melayu. Perikatan ini telah dapat mengatasi masalah persaingan politik dengan komunis. Ternyata perikatan UMNO-MCA-MIC telah menjadi teras ke arah kemerdekaan negara.
3.4 PENDIDIKAN
Dasar pendidikan merupakan satu langkah ke arah penyatuan pelbagai kaum di Tanah Melayu. Pendidikan sebelum zaman darurat terbahagi kepada empat jenis aliran pendidikan iaiti Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Cina, Sekolah India. Sekolah-sekolah ini berbeza sukatan pembelajarannya menyebabkan sistem persekolahan menjadi tidak seimbang bagi setiap kaum di Tanah Melayu. Keadaan ini tidak mewujudkan kesedaran kebangsaan penduduk di Tanah Melayu ke arah pembetukkan sebuah bangsa yang bersatu. 
Semasa era darurat berlangsung, sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah Inggeris dan sekolah di kawasan kampung baru telah dibuka kepada penduduk di tanah melayu. Masyarakat Melayu mula sedar akan pentingnya pendidikan. Buktinya kemasukan pelajar ke sekolah semakin bertambah dari semasa ke semasa. Sekolah Cina pula mendapat tentangan hebat daripada pihak komunis terutamanya pengetua sekolah, guru dan pelajar. Pada 13 November 1948, tiga orang komunis telah menyerang Sekolah Lam Huah di Kahang, Johor. Kejadian itu telah menyebabkan seorang pengetua mati dibunuh.
Namun begitu, sekolah Tamil tidak menerima sebarang ancaman daripada pihak komunis. Menjelang 1950, sekolah Tamil dibahagikan empat jenis iaitu sekolah yang diselenggarakan dan dikendalikan oleh kerajaan, sekolah estet yang tertakluk kepada Kod Buruh dalam penyelenggaraan sekolah, sekolah persendirian yang dikendalikan oleh jawatankuasa daripada penduduk tempatan dan sekolah mubaligh yang dikendalikan oleh badan mubaligh.Sekolah di kampung baru diwujudkan untuk membolehkan kanak-kanak yang tinggal di kawasan itu mendapat pendidikan yang sempurna dan melindungi mereka daripada ideologi komunis.
Justeru, kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha dalam membentuk dasar pendidikan yang dapat menyatupadukan semua kaum di Tanah Melayu. Dengan memiliki pendidikan, masyarakat tidak akan terpedaya dengan muslihat komunis. Antara usaha kerajaan ialah mewajibkan semua sekolah bantuan kerajaan mengajar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kerajaan juga berusaha memperkenalkan Ordinan Pendaftaran Sekolah yang bertujuan untuk mewujudkan sistem pembelajaran yang kondusif, menjaga kebajikan, dan memelihara kebersihan sekolah. Selain itu, kerajaan juga bertanggungjawab terhadap kenaikkan gaji tahunan guru di sekolah Cina. Pihak kerajaan juga menitikbertakan aspek yang bercorak Tanah Melayu seperti  upacara menaikkan bendera persekutuan dan negeri pada setiap pagi. Pendidikan untuk Orang asli turut diberi perhatian oleh pihak kerajaan seperti di Pahang, Perak dan Kelantan. Dalam masa yang sama, kerajaan turut menubuhkan jawatankuasa untuk menggubal dasar pendidikan. Antaranya ialah Jawatankuasa Penasihat Pusat (CAC). Pihak kerajaan telah menyediakan beberapa laporan yang bertujuan untuk menubuhkan sistem pendidikan yang sama untuk semua kaum di Tanah Melayu. Namun, ianya mendapat tentangan hebat daripada orang Cina dan orang India kerana menganggap sebagai satu percubaan untuk menghapuskan cara hidup dan budaya mereka.
3.5 KEMUDAHAN ASAS
            Gangguan terhadap kemudahan asas banyak dilakukan oleh pihak komunis pada zaman darurat. Tujuannya ialah untuk menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk kepada  kerajaan. Antara kemudahan asas yang disediakan kerajaan ialah kereta api, jalan raya, perkhidmatan telegraf dan telefon, bekalan air paip, bekalan elektrik, sistem pengairan dan peparitan serta perkhidmatan kesihatan dan perubatan. Pelbagai tindakan kejam pihak komunis untuk merosakkan kemudahan asas yang disediakan. Namun begitu, kerajaan turut berusaha untuk menangani masalah yang ditimbulkan oleh pihak komunis dengan membaiki kemudahan yang rosak, membina saluran bekalan air baru, menyediakan lampu pagar di sekeliling kampung dan sebagainya lagi.
            Antara tindakan komunis ialah menjalankan kempen sabotaj terhadap jalan raya dan kereta api. Landasan kereta api dirosakkan menyebabkan kereta api tergelincir dari landasan. Mereka juga menembak kereta api yang sedang bergerak, membakar kereta api dan sistem komunikasi. Mereka turut merampas kereta api yang membawa bekalan makanan. Namun, pihak kerajaan berusaha membaiki dan mengambil langkah berjaga-jaga daripada serangan komunis. Buktinya pada Januari 1951, pihak komunis telah menghentikan perkhidmatan mel malam di antara Kuala Lumpur dengan Singapura.
Selain itu, jalan raya turut menjadi sasaran keganasan komunis. Jalan raya telah dibina oleh kerajaan untuk memudahkan pergerakan manusia dan barangan dengan lebih lancar. Pihak komunis telahmerosakkan kenderaan, membakar kenderaan, menahan dan merompak kenderaan. Pada 20 Disember 1949, di Johor seorang penunggang motosikal dari Yong Peng ke Ayer Hitam telah ditembak mati oleh komunis dan motosikalnya dibakar. Oleh itu, kerajaan telah mengarahkan penduduk untuk menggali kubu atau parit di tepi jaln untuk menyukarkan komunis bertindak.
4.0 PENUTUP
Secara kesimpulannya darurat yang diisytiharkan pada 1948 telah memberi tamparan yang hebat dalam hidup masyarakat di Tanah Melayu. Pelbagai ancaman yang dilancarkan oleh komunis telah memberi seribu satu penderitaan hidup. Sepanjang tempoh darurat masyarakat terseksa dalam menjalani kehidupan seharian. Mereka berhadapan dengan masalah kebuluran dan kesihatan yang menyebabkan mereka terbunuh. Mereka dibayangi dengan bayang-bayang komunis dalam melalui detik-detik kehidupan. Langkah yang dijalankan oleh kerajaan pula, hanya menyusahkan penduduk di Tanah Melayu itu sendiri. Dengan itu, jelaslah bahawa darurat yang berlangsung selama 12 tahun mendatangkan banyak kesulitan kepada penduduk di Tanah Melayu. Masalah perkauman sedikit sebanyak menganggu keselamatan negara.Pendidikan juga tidak dapatdijalankan dengan sempurna kerana menghadapi ancaman-ancaman komunis. Begitu juga dengan kemudahan asas yang semakin terjejas.
5.0 BIBILIOGRAFI
Darurat 1948-1960 keadaan sosial di tanah Melayu, 2004. Kuala Lumpur: Universiti Malaya

0 comments:

Post a Comment

 
This Template Was Made & Design With Love By fatin izzanti sanusi. All Right Reserved To Me.